Monday, August 5, 2019

AYAT 3

Serta negeri (Makkah) yang aman ini,

TAFSIRAN AYAT

Kelebihan Kota Makkah

Nama 
Kota Makkah mempunyai banyak nama. Ini menandakan lebihnya kota mekah terutamanya apabila gelaran yang melambangkan kebaikan dan kehebatan diberikan kepadanya.

Makkah ertinya membinasakan atau mengurangkan. Dinamakan Makkah kepada Tanah Haram Makkah seluruhnya kerana Makkah mengurangkan dan menghapuskan dosa orang yang datang kepadanya atau membinasakan orang yang melakukan kezaliman di Makkah atau kerana Makkah menghapuskan pemerintahan yang zalim dan menundukkan kesombongan mereka. Seperkara lagi nama kota ini dirakamkan dalam nas al-Quran dan hadis dan sudah pasti ia akan diabadikan di sepanjang zaman kehidupan manusia.

Sejarah

Kota Makkah mempunyai sejarah yang cukup istimewa, antaranya ia merupakan sejarah rumah Allah yang pertama didirikan untuk manusia. Sejarah kehidupan Hajar dan Ismail sebagai manusia yang membuat pembaharuan semula bagi Kota Makkah amatlah unik. Seterusnya catatan kehebatan Makkah berlangsung daripada generasi terdahulu hingga kini.

Karamah

Yang dimaksudkan adalah kemuliaan Allah wujudkan pada Kota Makkah sama ada dinaskan dalam al-Quran dan hadis. Hal ini jelas dengan rakaman firman Allah SWT berkenaan Ashabul Fil.

Tawaran Pahala

Terlalu banyak tawaran pahalanya dan digandakan berbanding tempat lain. Ini terbukti dengan banyak nas seperti solat di Masjidil Haram diberi ganjaran 10,000 berbanding masjid lain. Begitu juga dengan pahala tawaf, umrah hatta melihat Kaabah.

Keistimewaan Makkah
Telaga Zam Zam dimana airnya adalah antara yang terberkat di muka bumi. Mempunyai pelbagai kelebihan dan mengikut niat seseorang yang meminumnya akan diberikan dengan izin Allah. Hal ini dinaskan dalam hadis. Wujudnya tempat-tempat yang ada nilai berbanding dengan yang lain seperti Makam Ibrahim, Hijr Ismail, Hajar Aswad, Multazam dan lain-lain.
Makkah sebagai Tanah Haram. Dalam sebuah riwayat Muslim, menyebut Rasulullah SAW bersabda: Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan Kota Makkah : Sesungguhnya Negeri Makkah ini dijadikan Allah SWT sebagai tanah Haram ketika Dia menciptakan langit dan bumi. Mekah ialah tanah haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat. Tidak dibenarkan berperang di Makkah kepada sesiapa pun sebelumku dan tidak dibenarkan kepadaku kecuali beberapa masa sahaja (pada hari pembukaan Kota Makkah tahun ke 8 Hijrah).

Makkah ialah Tanah Haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat. Tidak boleh memotong pohon, tidak boleh menangkap binatang pemburuan (yang hidup bebas), tidak boleh mengambil barang tercicir kecuali mereka yang mahu mengumumkannya kepada orang ramai dan tidak boleh mengerat rumput di Makkah. Kata al-Abbas (bapa saudara Rasulullah):"Kecuali Izkhir (sejenis tumbuhan yang harum baunya) untuk dibuat bahan bakar kepada tukang besi dan dibuat atap rumah.Jawab Rasulullah SAW :" Kecuali Izkhir."

Tidak dimasuki Dajjal. Hal ini berdasarkan hadis dalam Sahih Bukhari Rasulullah SAW bersabda : Semua negeri akan dimasuki oleh Dajjal kecuali Makkah dan Madinah, semua jalan masuk dikawal oleh para malaikat yang berbaris-baris, kemudian Madinah akan bergoncang sebanyak tiga kali. Dan Allah SWT akan mengeluarkan semua orang kafir dan munafik darinya.

Mendapat Keamanan. Ini kerana telah diisytiharkan Allah SWT. Al-Maghari berkata seluruh bangsa Arab sepakat untuk menghormati dan memuliakan Baitullah ini. sesiapa yang masuk ke dalamnya pasti berasa aman daripada gangguan penganiayaan orang lain, pembunuhan atau pelanggaran kehormatannya, selama mereka berada didalamnya. Amalan kebiasaan ini telah berjalan sejak zaman jahiliah lagi.

Melakukan Ibadah Sunat Sepanjang Masa. Walaupun ia tidak disepakati oleh para ulama tetapi mengikut mazhab Syafie dan Hambali ia boleh dilakukan solat sunat dan tawaf pada bila-bila masa. Tetapi mengikut mazhab Hanafi dan Malik hukum Makkah sama seperti ditempat lain tanpa bezanya ini berdasarkan kepada perbuatan Saidina Umar.

Kaabah. Ia adalah Baitullah al-Haram dan kiblat umat Islam. Berkenaan dengan kelebihannya tiada syaknya lagi berdasarkan nas al-Quran yang bermaksud : Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk manusia ialah Baitullah sebagai tempat ibadah yang berada di Makkah yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia.



No comments:

Post a Comment